Bantu Adam
17 Nov 2011
![]()
EKSTRA!
![]()
Bantu Adam
![]()
Kebanyakan panggilan yang diterima berkaitan masalah perceraian
![]()
Oleh
Farid Hamzah
ADA yang mengadu tentang masalah hak jagaan anak. Tidak kurang juga tentang isu nafkah dan harta.
Rata-rata kaum lelaki yang menghubungi talian Persatuan Adam melibatkan mereka yang sedang menjalani proses perceraian.
Sejauh ini, sejak diperkenalkan pada Januari 2010 talian tersebut telah menerima sekitar 200 panggilan daripada kaum Adam yang mengongsi masalah mereka.
Dan hasil daripada perbualan dengan mereka, didapati ramai yang tidak tahu bagaimana mewakili diri mereka di mahkamah.
Atas sebab itulah Persatuan Adam kini mengorak langkah memperkenalkan juga klinik guaman percuma bagi golongan Adam sedemikian.
Bermula Sabtu ini klinik yang akan diadakan di pejabat Persatuan Adam di Blok 3, Queens Road, #01-169 itu akan dikendalikan peguam bersara Encik Sham Shudin Ali.
Ia akan berlangsung mulai 2 hingga 4 petang pada hari tersebut.
Menyatakan demikian, Pengurus Program Persatuan Adam, Encik Muhammad Ridzal Abdul Hamid, 28 tahun, menyatakan mereka yang berminat boleh menghubungi dahulu talian tersebut untuk mendaftarkan diri bagi klinik tersebut.
‘Apa yang diharapkan menerusi klinik ini, kaum Adam yang bermasalah boleh mendapatkan nasihat guaman yang mudah-mudahan dapat meringankan masalah mereka itu,’ katanya lagi.
Menurut Encik Muhammad Ridzal yang mula menyertai Persatuan Adam pada lewat tahun lalu, talian tersebut dikendalikan oleh kakitangan dan sukarelawan persatuan itu dan berfungsi sebagai satu pusat rujukan untuk kaum lelaki yang menghadapi isu-isu berkenaan rumah tangga, keluarga, guaman, kesihatan (fizikal dan mental), kewangan serta isu-isu sosial lain.
‘Talian ini (1800-626-2626) dimulakan kerana tidak ada talian bantuan yang sedia ada khas untuk kaum lelaki, berbanding dengan talian bantuan untuk kaum wanita, seperti yang dikendalikan oleh Aware.
‘Kami sedar bahawa amat sukar untuk seorang lelaki itu mengaku yang beliau mempunyai masalah dan apabila beliau bersedia untuk membincangkan masalahnya, beliau lebih suka berbual dengan seorang lelaki yang lain,’ tambah Encik Muhammad Ridzal.
Pada hujung tahun lalu, talian itu menerima publisiti yang lebih menerusi sebuah doku-drama yang ditayangkan di saluran Suria.
Pada waktu itu, jumlah panggilan bertambah tetapi sekarang sudah berkurangan kerana keupayaan Persatuan Adam untuk menguarkannya agak terbatas.
Selain daripada itu, cabaran lain yang dihadapi disebabkan kekurangan kakitangan, terutamanya seorang kaunselor sepenuh masa.
‘Kami dapati lebih ramai pemanggil yang meminta khidmat kaunseling dan juga nasihat guaman dan oleh kerana kami tidak ada seorang kaunselor sepenuh masa, kami hanya berupaya merujukkan pemanggil seperti ini kepada badan-badan lain.
‘Ada juga pemanggil yang diberi kaunseling oleh presiden Persatuan Adam sendiri, Haji Abdul Mutalif Hashim,’ jelasnya lagi yang menambah kadangkala pihaknya menerima juga mereka yang tampil ke pejabat itu untuk kaunseling.
Persatuan Adam ditubuhkan pada 2004 dan antara lain bertujuan melengkapi kaum lelaki dengan kemahiran menjalankan tanggungjawab mereka dengan sebaiknya.
Ia ditubuhkan untuk mengisi kekosongan dalam perkhidmatan yang disediakan untuk kaum Adam.
Ini selepas didapati bahawa terdapat banyak penyedia khidmat nasihat untuk masyarakat tetapi kurang wadah untuk kaum lelaki sahaja.
Lantas bagi mewujudkan keselesaan dan rasa yakin, Persatuan Adam ditubuhkan sebagai wadah untuk menghuraikan masalah yang dihadapi kaum lelaki.
‘Kita lihat tiada tempat untuk golongan lelaki meluahkan masalah dan kesukaran mereka.
‘Kaum lelaki mungkin kurang selesa meluahkan masalah mereka kepada wanita kerana akan berasa tergugat dan bimbang dilihat sebagai golongan lemah,’ katanya.
Selain itu pertubuhan itu juga sedang mengorak langkah meluaskan rangkaian kerjasama dengan pertubuhan lain termasuk pihak masjid.
‘Malah kami telah mengirimkan surat-surat serta e-mel untuk tujuaan tersebut.
‘Buat masa ini sambutan masih lagi perlahan dan besar harapan kami sekiranya masjid-masjid ini dapat memberi jawapan secepat mungkin supaya kita dapat sama-sama membantu kaum Adam kita terutama dalam konteks meringankan tekanan yang mereka hadapi dalam dunia yang sangat mencabar ini.’ jelasnya.









